KUALA LUMPUR, 11 Disember- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto menolak Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa gencatan senjata antara Israel dan Palestin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin menerusi kenyataan berkata tindakan AS itu sekali gus menggagalkan usaha UNSC mencari jalan penyelesaian konflik terbabit.
Tindakan itu juga seolah-olah menghalalkan kekejaman zionis terhadap rakyat Palestin.
Baginda turut menzahirkan sokongan kepada pendirian kerajaan menerusi kenyataan perdana menteri dan menteri luar yang membantah dan mengecam tindakan AS terhadap resolusi yang dikemukakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.
Al-Sultan Abdullah juga menyeru seluruh rakyat supaya terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menghulurkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban dan penderitaan mereka.
Setakat ini, lebih 17,000 rakyat Palestin terkorban.
Kira-kira 70 peratus daripada jumlah itu melibatkan kanak-kanak dan wanita.