
KUALA LUMPUR, 7 April – Rakyat Malaysia yang berada di Asia Barat dan ingin pulang ke tanah air digesa segera mendapatkan penerbangan komersial selagi ruang udara di beberapa rantau berkenaan masih beroperasi.
- Arab Saudi, Oman dan Turkiye beroperasi seperti biasa; Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Lubnan, Qatar dan Syria sambung penerbangan secara terhad.
- Ruang udara di Bahrain, Iran, Iraq, Kuwait dan Yemen masih ditutup kepada penerbangan komersial.
- Nasihat perjalanan masih berkuat kuasa; rakyat diingatkan daftar e-Konsular, patuhi arahan pihak berkuasa, Wisma Putra terus memantau.
Antaranya di Arab Saudi, Oman dan Turkiye yang masih beroperasi seperti biasa.
Sementara itu, di Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Lubnan, Qatar dan Syria, operasi penerbangan komersial secara terhad telah disambung semula.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, ruang udara di beberapa negara termasuk Bahrain, Iran, Iraq, Kuwait dan Yemen masih ditutup kepada penerbangan komersial.
“Situasi keselamatan adalah sangat tidak menentu dan boleh berubah dengan pantas tanpa sebarang amaran.”
” Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan oleh Kementerian pada 5 Mac 2026, yang menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke negara terjejas, masih berkuat kuasa.”
” Rakyat Malaysia yang memilih untuk terus berada di rantau tersebut turut diingatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan serta mendaftarkan keberadaan mereka melalui portal e-Konsular bagi memudahkan urusan bantuan konsular.” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut mengesahkan semua rakyat Malaysia yang berdaftar berada dalam keadaan selamat, selain tiada laporan rakyat Malaysia yang terkandas setakat ini.
Dalam pada itu, Wisma Putra terus komited memantau rapat situasi keselamatan yang semakin meruncing di rantau Asia Barat.
Tumpuan utama Kementerian kekal terhadap keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat Malaysia yang menetap atau melalui kawasan terjejas.