
PERMATANG PAUH, 11 Mac — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengadakan mesyuarat esok bagi membincangkan strategi baharu sektor pelancongan negara susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
- MOTAC akan mengadakan mesyuarat bagi merangka strategi baharu sektor pelancongan susulan konflik di Asia Barat.
- Mesyuarat akan meneliti persiapan kementerian menghadapi impak jika konflik Amerika Syarikat dan Iran menjejaskan sektor pelancongan.
- Perkembangan Asia Barat berpotensi menjejaskan jadual penerbangan dari rantau itu ke pelbagai destinasi global.
- MOTAC akan menyelaras langkah bagi memastikan perubahan penerbangan tidak menjejaskan usaha menjayakan Tahun Melawat Malaysia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata mesyuarat itu akan meneliti secara menyeluruh persiapan kementerian dalam menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya konflik membabitkan Amerika Syarikat dan Iran memberi kesan kepada sektor pelancongan.
“Kita akan mengadakan satu mesyuarat di kementerian esok petang untuk menyusun semula dan merangka strategi baharu. Kita akan bincangkan dahulu bagaimana pendekatan yang perlu diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadan di sini.
Menurut beliau, perkembangan semasa di Asia Barat berpotensi memberi kesan kepada jadual penerbangan dari Asia Barat ke pelbagai destinasi di seluruh dunia.
Menurutnya, MOTAC akan menyelaras langkah sewajarnya bagi memastikan sebarang perubahan dalam sektor penerbangan tidak menjejaskan usaha kerajaan menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM).