Konflik Asia Barat: Bekalan tenaga Malaysia stabil

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semasa Sidang Media Mesyuarat Kabinet di Putrajaya. /Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 13 Mac — Bekalan tenaga negara dijamin kekal stabil, walaupun konflik yang sedang berlaku di Asia Barat menimbulkan kebimbangan terhadap rantaian bekalan tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengeluaran dan pemprosesan minyak serta gas domestik mengurangkan risiko gangguan bekalan tenaga.
  • Kerajaan mengesahkan bekalan petrol dan diesel dalam negara masih mencukupi.
  • Kapasiti penapisan, pengeluaran tempatan dan kemudahan storan menyokong kestabilan bekalan tenaga.
  • Kerajaan memantau konflik Asia Barat rapat kerana sekatan Selat Hormuz boleh menjejaskan pasaran dan harga minyak.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Malaysia ketika ini tidak berdepan gangguan bekalan tenaga, hasil keupayaan negara dalam pengeluaran dan pemprosesan minyak serta gas domestik.

Beliau turut mengesahkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa bekalan petrol dan diesel dalam negara masih stabil dan mencukupi.

“Ketika ini, bekalan petrol dan diesel dalam negara adalah mencukupi. Petronas bersama syarikat minyak lain di Malaysia juga sedang berusaha memastikan bekalan tenaga dapat dipanjangkan dan kekal mencukupi dalam negara.

Alhamdulillah, setakat ini kita tidak mengalami gangguan bekalan seperti yang mungkin berlaku di beberapa negara lain. Ini kerana Malaysia mempunyai sumber gas domestik yang baik melalui aktiviti penerokaan dan pengeluaran dalam negara.

Selain itu, kapasiti penapisan serta pengeluaran minyak dan gas tempatan turut membantu memastikan bekalan kekal stabil. Kemudahan penyimpanan yang ada dalam negara juga menyokong kestabilan bekalan tenaga.

Secara keseluruhannya, bekalan tenaga dalam negara ketika ini berada dalam keadaan stabil.” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan kini sedang memantau secara dekat perkembangan konflik tersebut memandangkan rantau Asia Barat memainkan peranan penting dalam pengeluaran tenaga dunia.

“Secara keseluruhannya, Asia Barat merupakan antara kawasan paling penting dalam pengeluaran minyak dan gas dunia. Kira-kira 20 peratus pengeluaran minyak dan tenaga global datang dari rantau ini, dengan kebanyakannya tertumpu di bahagian timur Asia Barat.

Susulan konflik yang berlaku ketika ini, cabaran utama adalah kekangan yang timbul akibat sekatan di Selat Hormuz. Jika sekatan tersebut berlarutan dalam tempoh yang panjang, ia sudah tentu akan memberi kesan kepada bekalan di pasaran antarabangsa serta memberi impak kepada harga minyak,” katanya dalam Sidang Media Mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

Beliau menjelaskan, pasaran minyak global telah menunjukkan ketidaktentuan sejak dua minggu lalu, yang turut memberi kesan kepada pelbagai rantaian bekalan global.

“Kita telah menyaksikan lonjakan harga minyak yang agak ketara dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini. Harga minyak penanda aras Brent crude oil meningkat daripada sekitar AS$60 setong dan pernah mencecah setinggi AS$119 setong, sebelum kini berada sekitar AS$100 setong.

Selain itu, Asia Barat juga merupakan pengeluar penting beberapa komoditi lain seperti urea, iaitu baja yang digunakan dalam sektor pertanian, selain sulfur dan helium. Oleh itu, kesan konflik di rantau tersebut boleh memberi impak yang besar kepada rangkaian bekalan global.

Namun begitu, impaknya berbeza dari satu negara ke negara lain. Bagi Malaysia, Alhamdulillah buat masa ini kita melihat bekalan dalam negara masih mencukupi,” jelasnya lagi.

Datuk Seri Amir Hamzah menambah, faktor seperti pengeluaran domestik minyak dan gas, kapasiti penapisan serta kemudahan storan tenaga menjadi antara kekuatan utama Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga global ketika ini.

Bagaimanapun, situasi perkembangan konflik di Asia Barat akan terus dipantau dari semasa ke semasa bagi menilai sebarang implikasi terhadap ekonomi serta keselamatan tenaga negara pada masa depan.