fb fb fb fb fb

Kompleks Pemuliaan al-Quran di Pahang memadai – Sultan Abdullah

Foto FB Kompleks Pemuliaan Al Quran Negeri Pahang

MARAN, 21 April – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa puas hati terhadap peranan dua Kompleks Pemuliaan al-Quran yang beroperasi di daerah Maran dan Pekan, dalam memastikan pelupusan naskhah suci dilaksanakan mengikut syariat Islam.

Baginda bertitah, penubuhan kompleks tersebut yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memainkan peranan penting sebagai pusat pengumpulan dan pelupusan al-Quran yang rosak atau tersalah cetak, selaras dengan adab serta syariat yang ditetapkan.

“Saya ingat keperluan itu sudah cukup memadai sekarang. Saya ingat belum lagi lah... Tapi jika masa akan datang kalau ada keperluan, kita akan bina lagilah, insya-Allah. Tapi setakat ini memadai... Seelok-eloknya ada di Pekan satu, di Lipis satu, di Maran pertengahan, cukuplah buat sementara ini,” titah baginda ketika menghadiri Program Kembara Pahang 1.0 di sini, hari ini.

Sejak mula beroperasi dua tahun lalu, Kompleks Pemuliaan al-Quran di Chenor telah melupuskan lebih 50 tan naskhah dan bahan bercetak yang mengandungi ayat suci al-Quran.

Menurut JAIP, proses pelupusan dilaksanakan dengan kaedah pembakaran melalui insinerator khas, diikuti pelupusan abu ke laut yang dijalankan dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Program Kembara Pahang 1.0 yang disertai baginda melibatkan jelajah ke empat daerah iaitu Maran, Temerloh, Bera dan Pekan dan dijadualkan berakhir 23 April ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN