KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Majlis Sinergi Barakah hari ini menyaksikan pelancaran Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) sebagai entiti baharu hasil penggabungan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, penggabungan itu akan memperkukuh ekosistem pendidikan Islam berteraskan TVET, khususnya bagi anak-anak asnaf.
“Perjanjian tersebut akan menjadikan usaha penggabungan antara IKB dan juga KPBKL yang membentuk KPMAIWP berjalan dengan baik. Saya harap sangat agar semua bentuk sokongan dan dukungan diberikan kepada KPMAIWP untuk memastikan agenda ini berjaya,” katanya ketika merasmikan majlis di Dewan Ibnu Jama’ah, Kolej Profesional MAIWP.
Pada majlis sama, turut dimeterai 13 Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua Memorandum Perjanjian (MoA) antara KPMAIWP dengan pelbagai institusi serta organisasi.
KPMAIWP juga mula menerima pelajar antarabangsa dari Kemboja dan Azerbaijan, selain merancang pembangunan Kompleks Akademi TVET serta menaik taraf bangunan pentadbiran menjelang 2025.
Sementara itu, Pengerusi KPMAIWP, Zuri Zabuddin Budiman memaklumkan kolej berkenaan menerima sumbangan daripada enam agensi korporat dengan nilai keseluruhan RM428,800.
Dengan visi Pelan Transformasi Al-Falah, KPMAIWP diharap mampu melahirkan graduan TVET cemerlang, berjati diri Islam serta berupaya menyumbang kepada pembangunan negara dan ummah.