KLIA perkenal RIMBA, ruang rehat inspirasi alam semula jadi

FOTO BERNAMA

SEPANG, 14 Januari – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus mempertingkatkan pengalaman penumpang dengan pembukaan RIMBA, sebuah ruang rehat berinspirasikan alam semula jadi di Terminal 1.

RINGKASAN BERITA AI
  • RIMBA dibuka di Terminal 1 KLIA sebagai ruang rehat bertema alam semula jadi untuk meningkatkan pengalaman penumpang.
  • Ruang ini memudahkan penumpang transit berehat, membaca atau menikmati suasana tenang seperti bunyi air terjun.
  • RIMBA memberi nilai tambah kepada kepuasan pelanggan dan menyokong penilaian antarabangsa seperti Skytrax.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, RIMBA direalisasikan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, selari dengan usaha menampilkan identiti serta keindahan alam semula jadi negara kepada pelancong antarabangsa.

Menurut beliau, perancangan pembinaan RIMBA telah dimulakan sejak enam hingga tujuh bulan lalu bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat dibuka mengikut jadual yang ditetapkan.

“Sejak dibuka kepada orang ramai pada awal Januari lalu, RIMBA menerima maklum balas yang sangat positif. Saya berharap pengunjung dapat berkongsi pengalaman mereka dan memaklumkan kepada dunia bahawa KLIA kini mempunyai ruang seperti ini untuk dinikmati,” katanya.

Tambah beliau, RIMBA turut berperanan meningkatkan keselesaan penumpang transit dengan menyediakan ruang santai untuk berehat sementara menunggu penerbangan seterusnya.

“Penumpang transit boleh meluangkan masa beberapa jam di sini, sama ada untuk membaca, menikmati minuman atau sekadar berehat. Ada juga yang singgah seketika sebelum ke pintu pelepasan hanya untuk menikmati bunyi air terjun dan suasana yang menenangkan,” katanya.

Jelasnya, pengalaman seumpama itu memberi nilai tambah kepada kepuasan pelanggan dan turut menyumbang kepada penilaian antarabangsa seperti Skytrax, yang menilai suasana terminal serta pengalaman penumpang secara keseluruhan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi Santai Bersama Media @ RIMBA KLIA di Bangunan Satelit, Terminal 1, KLIA, pada Selasa.

RIMBA dijangka menjadi tarikan baharu di KLIA sekali gus mengukuhkan kedudukan lapangan terbang itu sebagai hab penerbangan serantau yang mengutamakan pengalaman dan kesejahteraan penumpang.