fb fb fb fb fb

KL Prihatin: Hanya 10 peratus penjaja perbaharui lesen

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 Disember-Hanya kira-kira 433 penjaja iaitu 10 peratus pemegang asal lesen KL Prihatin di bawah inisiatif Wilayah Bebas Berniaga masih aktif dan telah memperharui lesen masing-masing pasca pandemik.

Jumlah itu daripada 4, 328 lesen yang telah dikeluarkan di bawah KL Prihatin yang dijenamakan semula kepada KL Madani pada Jun 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menjelaskan,  inisiatif itu diperkenalkan sebagai usaha membantu golongan yang hilang sumber pendapatan  untuk berniaga secara kecil-kecilan semasa pandemik COVID-19 melanda negara.

Bagaimanapun, sebarang permohonan baharu lesen KL Madani tidak akan dipertimbangkan, sebaliknya hanya dibuka kepada pemegang lesen KL Prihatin untuk permohonan pembaharuan lesen. 

"Penjaja-penjaja ini akan dipantau supaya tidak menyebabkan perkara -perkara seperti yang berikut: iaitu kesesakan lalu lintas akibat berniaga di lokasi yang tidak sesuai, kebersihan bandar yang terjejas akibat ketidakpatuhan pematuhan penjaja terhadap garis panduan; persaingan ruang awam antara penjaja dan pengguna lain seperti pejalan kaki di kawasan siar kaki atau kaki lima. 

"Dalam hal ini, melalui Program Lestari Niaga, DBKL sedang dan akan menyusun semula penjaja di ibu kota, termasuk pemegang lesen KL Madani, dengan memastikan mereka dapat berniaga secara sah di tapak gerai yang lebih formal dan berstruktur", katanya demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Dalam pada itu, seramai  2 ,621 peniaga dan penjaja kecil mendapat manfaat daripada program Lestari Niaga sepanjang tahun 2023 dan 2024.

Ia menerusi pelaksanaan 83 projek di 76 lokasi gerai makanan dan pasar.

Dr Zaliha memaklumkan, program itu akan diteruskan dengan cadangan pelaksanaan 20 projek yang dianggar melibatkan 1,300 penjaja. 

Jelasnya, DBKL akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan garis panduan dan kesejahteraan awam tetap terjaga termasuk memindahkan penjaja yang  beroperasi di bahu jalan dan kaki lima ke lokasi yang lebih sesuai.

"Walau bagaimanapun, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa usaha yang sedang dilaksanakan oleh DBKL melalui Program Lestari Niaga adalah bertujuan untuk menyusun semula penjaja dari lokasi yang tidak sesuai, ke dalam tapak gerai yang lebih formal dan teratur.

"Pendekatan ini bukan bertujuan untuk menghapuskan penjaja tepi jalan secara total, tetapi memastikan mereka dapat terus berniaga dalam persekitaran yang lebih selamat dan bersih, selaras dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar C.H.A.S.E. yang mesra peniaga kecil", katanya di Parlimen hari ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD