fb fb fb fb fb

KKM teliti semula projek kemudahan awam dan fasiliti kesihatan

SEGAMAT, 10 Disember - Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti semula projek kemudahan awam dan fasiliti kesihatan termasuk pembinaan hospital di negara ini.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata penelitian secara terperinci akan dibuat sebelum memutuskan sebarang tindakan susulan.

(Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa)

"saya telah diberi taklimat secara umum dan tidak secara terperinci lagi tentang projek sakit ini. Saya kena tengok dulu sakitnya dimana. Doktor ini biasalah kita kena tengok dulu sakitnya satu persatu, apa simptom dia...apa aduan dia...baru kita boleh atasi masalah itu," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Hospital Segamat, di sini.

Zaliha berkata demikian berhubung isu 13 ‘projek sakit' yang melibatkan klinik kesihatan, hospital dan kuarters di bawah KKM sebagaimana yang dibangkitkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, September lalu.

Sementara itu Zaliha berkata, pihaknya juga akan memberikan perhatian untuk mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan di Sarawak, terutamanya dari segi infrastruktur.

Katanya, perkara berkenaan dilihat penting berikutan insiden seorang wanita warga emas dari Lawas meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Miri, baru-baru ini.

“Sebenarnya kita memang maklum isu-isu kesihatan di Sabah dan Sarawak... kematian pesakit itu akhirnya kita tahu sebab infrastruktur dari Lawas ke Miri memang sangat jauh dan perlu melalui beberapa check point.

“Itu antara perkara yang kita sebut... dalam keadaan apa pun, kita akan cuba tingkatkan perkhidmatan kesihatan... tapi kena tengok, perbaiki dan semua aduan yang kita terima tu kita ambil perhatian dan cuba atasi,” katanya.

Media Baharu