KKM tawar pemeriksaan kesihatan, sokongan psikososial kepada sukarelawan GSF

SERDANG, 4 Oktober – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan pemeriksaan kesihatan menyeluruh serta rawatan susulan kepada sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang pulang ke tanah air.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, selain pemeriksaan fizikal, kementerian turut menyediakan sokongan psikososial dan mental melalui Pusat Kebangsaan Kesihatan Emosi dan Mental (NCEMH) secara berterusan.

“Yang mustahaknya, sejurus mereka pulang, KKM sedia menawarkan antaranya pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan menyusuli rawatan yang perlu, serta sokongan psikososial dan mental melalui NCEMH secara berterusan.

“Kita sangat peka, kita memantau dan kita mendoakan mereka akan dibebaskan secepat mungkin. Malah, kita juga telah mengadakan solat hajat dan terus berdoa untuk keselamatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Jantung Jelajah WIRA MADANI 2025 di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang, hari ini.

Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly, KKM menekankan aspek sokongan menyeluruh termasuk rawatan emosi dan mental kerana sukarelawan terbabit mungkin berdepan trauma atau tekanan ekoran pengalaman ekstrem ketika menyertai misi flotila kemanusiaan itu.

Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) sebelum ini mengesahkan enam sukarelawan misi GSF iaitu lima wakil Malaysia dan seorang wakil Brunei disahkan selamat tiba di tanah air, pada Khamis lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim berkata, mereka akan berada di SNCC bagi meneruskan penugasan bersama pasukan operasi termasuk menyalurkan maklumat terkini berkaitan misi GSF.

Manakala peserta misi yang ditahan Israel akan dibawa pulang melalui sebuah negara ketiga.