fb fb fb fb fb

KKM siap sedia hadapi lonjakan kes influenza

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan kesiapsiagaan penuh di semua fasiliti kesihatan awam dalam menghadapi peningkatan kes influenza.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah proaktif telah diambil termasuk pengasingan laluan pesakit berjangkit dan tidak berjangkit di Jabatan Kecemasan (A&E), serta pengaktifan Pelan Bencana Hospital.

"Antara inisiatif penting ialah penyediaan zon bencana dengan tambahan katil dan mobilisasi petugas dalaman sekiranya berlaku lonjakan kes di luar jangka.

"Trend kes influenza setakat minggu epidemik 41 menunjukkan peningkatan berbanding minggu sebelumnya, justeru langkah ini bersifat pencegahan awal dan berterusan," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Dzulkefly pada sesi pertanyaan menteri menteri di Parlimen memaklumkan, KKM tidak menjalankan ujian makmal secara rutin bagi kes penyakit seakan influenza (ILI) kerana majoriti pesakit mengalami gejala ringan dan boleh didiagnosis secara klinikal.

Menurut beliau, diagnosis klinikal sudah memadai berdasarkan simptom pesakit, memandangkan ujian makmal tidak akan mengubah bentuk rawatan yang diberi. 

Namun, bagi kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan pesakit dengan gejala serius, rawatan lanjut termasuk ubat antiviral akan diberikan berdasarkan keperluan.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN