KKM pertimbang tempoh latihan ‘housemanship’ dipendekkan

Foto KKM

KUALA LUMPUR 12 Mac – Kementerian Kesihatan sedang meneliti cadangan untuk memendekkan tempoh latihan housemanship daripada dua tahun kepada satu tahun, bagi menarik minat lebih ramai pelajar mengikuti kursus perubatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian menegaskan kualiti latihan dan keselamatan pesakit mesti dikekalkan walaupun kajian perubahan tempoh latihan dijalankan.
  • Lima bidang utama termasuk Perubatan, Pembedahan dan Obstetrik & Ginekologi kekal wajib, bersama kompetensi klinikal dan aspek kemanusiaan.
  • Keputusan diambil berhati-hati, mengambil kira bekalan doktor, tuntutan undang-undang dan perbincangan dengan Ketua Pengarah Kesihatan.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad, walaupun ada cadangan untuk mempercepat latihan, kementerian masih menekankan kualiti latihan dan keselamatan pesakit.

“Lima bidang utama termasuk Perubatan, Pembedahan, dan Obstetrik & Ginekologi tetap wajib, selain kompetensi klinikal dan aspek kemanusiaan yang tidak boleh dikompromi,” katanya.

“Majlis Perubatan Malaysia juga memberi perhatian kepada tuntutan undang-undang perubatan yang semakin meningkat, yang menuntut standard latihan yang tinggi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Wan Martina Wan Yusoff di Dewan Negara.

Bagaimanapun, kementerian akan membuat keputusan secara berhati-hati, mengambil kira jumlah bekalan doktor di negara ini serta faktor-faktor lain yang relevan, katanya.

Perbincangan dengan Ketua Pengarah Kesihatan sedang dijalankan dan sebarang keputusan mengenai perubahan tempoh housemanship akan mengekalkan standard kualiti latihan yang tinggi dan keselamatan pesakit.