(Gambar hiasan)
KUALA LUMPUR, 8 Julai- Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan menguatkuasa semula pengeluaran kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sekiranya kes COVID-19 terus meningkat.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata ini susulan kepatuhan rakyat terhadap SOP membendung jangkitan COVID-19 dilihat semakin longgar.
"Sekiranya kes terus meningkat dan ia meningkat dengan kadar yang mendadak, Kementerian Kesihatan tidak menolak untuk kita menguatkuasakan semula Akta 342 terutamanya kepada mereka yang enggan memakai pelitup muka di kawasan tertutup.
"Saya masih lagi merayu atas solidariti komuniti, atas pemerkasaan individu agar kita secara sukarela patuh kepada pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup kecuali waktu bercakap, memberi ucapan, makan dan mengambil gambar," katanya.
(Khairy Jamaluddin)
Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Menerusi Akta 342, individu yang didapati melanggar peraturan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.