fb fb fb fb fb

KKM perluas CCMS ke 588 klinik kesihatan seluruh negara

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni

KUALA LUMPUR, 30 Oktober -Kementerian Kesihatan (KKM) giat memperluaskan sistem pengurusan digital berasaskan awan (CCMS) di 588 klinik kesihatan seluruh negara termasuk kawasan pedalaman menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, perluasan CCMS turut dilaksanakan di 142 klinik kesihatan di Sarawak dalam tempoh tiga tahun dengan perkakas Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dibiayai Kerajaan Negeri Sarawak.

Jelas beliau, inisiatif tersebut menjadi antara strategi kementerian bagi menyokong Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) KKM 2021 hingga 2025.

"KKM telah merangka beberapa strategi bagi menyokong inisiatif pendigitalan sistem kesihatan negara berdasarkan prinsip dan strategi utama dinyatakan dalam Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) KKM 2021-2025.

"Pelan ini mengandungi langkah strategik yang diperlukan bagi meningkatkan sistem perkhidmatan digital ke arah penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih cekap selaras dengan keperluan bisnes KKM," katanya ketika menjawab soalan yang dikemuka Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung strategi KKM menyokong inisiatif pendigitalan sistem kesihatan negara, di Dewan Rakyat.

Datuk Lukanisman menambah, antara strategi lain yang dirangka adalah peluasan 'Electronic Medical Records' (EMR) di semua hospital dan klinik menjelang 2029, saling kebolehkendalian antara sistem, pemerkasaan aplikasi MySejahtera serta perolehan peralatan ICT dan menaik taraf rangkaian di fasiliti kesihatan.

TETITIA YUSOFF