fb fb fb fb fb

KKM giat banteras pembelian vape terhadap pelajar sekolah

Foto Fail / RTM

KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Kementerian Kesihatan (KKM) giat membanteras kegiatan pembelian rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah melalui pelbagai usaha termasuk aspek penguatkuasaan.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, penguatkuasaan tersebut dilakukan menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang telah berkuat kuasa 1 Oktober 2025.

“Bagi mengekang penyalahgunaan vape dalam kalangan kanak-kanak, KKM menguatkuasakan larangan pembelian dan penggunaan produk merokok oleh Orang Belum Dewasa (OBD) melalui Seksyen 13(3) dan 17 Akta 852.

"Penjualan dalam talian juga dilarang di bawah Seksyen 10 dan boleh dikenakan hukuman jika disabitkan kesalahan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi mengenai vape yang kini menjadi ancaman serius terhadap kesihatan kanak-kanak di Dewan Rakyat di sini.

Tambahnya, sejak 1 Ogos 2025, KKM melaksanakan Operasi Selamat Paru-Paru melibatkan pelbagai agensi lain selain mengadakan program pencegahan dan pendidikan mengenai bahaya produk merokok dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM