KUCHING, 30 Mei- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bertekad untuk mempercepat pelaksanaan projek pembangunan di Sarawak yang melibatkan 403 projek dengan keseluruhan kos RM21.73 bilion.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, 178 projek atau 44.71 peratus masih berstatus ‘pra pelaksanaan’, manakala 155 projek telah diluluskan bagi tempoh 2021 hingga 2025.
“Saya melihat beberapa kekangan kerana RMK-13 akan dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang. Jadi, apa-apa projek sakit itu perlu diputuskan untuk disegerakan dalam RMK-13, Rolling Plan 1-5,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Projek Pembangunan KKDW di Kuching.
Turut hadir pada taklimat tersebut ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Sim Kui Hian; serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa sebanyak 91 projek atau hampir 46 peratus daripada projek berstatus ‘pra pelaksanaan’ dijangka akan menerima Surat Setuju Terima (SST) selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Kerajaan Persekutuan bersetuju supaya penempatan semula 15 kediaman yang terjejas akibat tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri diserahkan kepada agensi kerajaan negeri Sarawak untuk dilaksanakan.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, pelaksanaan itu akan dibuat selepas perayaan Hari Gawai kerana tanah bagi penempatan semula tersebut telah diperoleh.
“Ia telah dipersetujui untuk dilaksanakan selepas Hari Gawai ini kerana tanah telah diperoleh. Kita juga telah bersetuju untuk menurunkan kuasa pelaksanaan kepada agensi kerajaan negeri dan tidak lagi menggunakan Felcra atau Giatmara untuk projek ini,” katanya.
Tapak penempatan semula itu akan ditentukan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
Untuk rekod, kejadian tanah runtuh pada 29 Januari 2025 lalu di Kampung Lereng Bukit, Miri telah menjejaskan 15 rumah dan kehidupan 277 mangsa yang terlibat.