fb fb fb fb fb

Ketua Menteri Sabah gesa Asian Supply Base tingkatkan penyertaan dalam O&G

Datuk Seri Hajiji mengadakan lawatan kerja sulung ke Asian Supply Base Sdn Bhd, hari ini/ BERNAMA

LABUAN, 8 Disember- Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa pengurusan Asian Supply Base Sdn Bhd dapat meningkatkan penglibatannya dalam sektor minyak dan gas (O&G) bagi memenuhi sasaran 30 peratus penyertaan Petronas daripada syarikat Sabah.

Beliau yang mengadakan lawatan kerja sulungnya ke syarikat itu di sini, hari ini melahirkan rasa bimbang mengenai tahap penyertaan semasa.

“Kita mesti memastikan kita mencapai sasaran 30 peratus dan dapat memaksimumkan peluang dalam industri minyak dan gas, terutamanya dengan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang mencapai hampir kapasiti penuh di tanah besar,” katanya.

Turut hadir dalam lawatan itu adalah Pengerusi Labuan Corporation, Senator Tan Sri Anifah Aman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.

Dalam sesi lawatan itu, Pengerusi ASB Sdn Bhd Datuk, Suhaili Abdul Rahman memberikan taklimat mengenai struktur dan pengoperasian syarikat itu.
 
Sementara Ketua Pegawai Eksekutif ASB, Japar Estaben membentangkan mengenai perancangan syarikat itu, antaranya pembinaan kemudahan pertukaran kru dan cadangan menambah pelabuhan dermaga yang menelan kos perbelanjaan berjumlah RM240 juta.
 

ZEHRA BINTI ZAMBRI