fb fb fb fb fb

NVDIA Corp nyatakan kesediaan, sokong hasrat Malaysia jadi 20 negara teratas terkait AI

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation, Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL Power, Dato’ Yeoh Seok Hong di pejabatnya di bangunan Perdana Putra, Putrajaya / Foto FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 8 Disember - NVIDIA Corporation, sebuah syarikat teknologi multinasional telah menyatakan kesediaan untuk menyokong hasrat Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait Kecerdasan Buatan (AI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata NVIDIA bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI di Malaysia menerusi sokongan dalam pembinaan pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI, selain pewujudan sistem Awan AI Malaysia sendiri.

"Saya tekankan bahawa Malaysia memerlukan infrastruktur AI bertaraf dunia bagi memupuk bakat tempatan dan membangunkan inovasi yang diterajui AI," kata Anwar menerusi catatan di laman Facebook beliau.

Petang tadi, Anwar telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL Power Datuk Yeoh Seok Hong.Tambah Anwar, NVIDIA melihat Malaysia mempunyai sumber dan kemampuan dalam menyediakan keperluan dan syarat sebagai sebuah hub AI.

Beliau berkata NVIDIA akan mengadakan perkongsian strategik dengan konglomerat Malaysia, YTL yang membina pusat data AI melibatkan pelaburan berjumlah RM20 bilion.

"YTL telah memulakan pelaburan dalam superkomputer berkuasa H100 terbaru bagi membina sistem Awan AI berpangkalan di Malaysia," kata Anwar.

NVIDIA adalah sebuah syarikat teknologi multinasional dan telah menjadi perintis dalam pengkomputeran dipercepatkan.

NVIDIA kini adalah syarikat ke-6 terbesar di dunia dari segi permodalan pasaran.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN