
KUALA LUMPUR, 15 Mac – Ketagihan membeli atau compulsive buying dilihat semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat masa kini dan berpotensi memberi kesan kepada kesihatan mental jika tidak dikawal.
- Ketagihan membeli didorong keinginan kepuasan jangka pendek, dan tidak semua tingkah laku membeli dianggap sebagai gangguan.
- Pembelian berlebihan yang tidak digunakan menunjukkan kecenderungan, boleh membawa tekanan emosi, kebimbangan dan kemurungan.
- Perubahan tingkah laku perlu dilakukan berperingkat dan mungkin memerlukan bantuan profesional serta penilaian perubatan teratur.
Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Nordinah Mohd Kassim berkata, situasi itu bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi turut menjadi isu global berikutan peningkatan kuasa beli dalam kalangan pengguna.
“Pada pandangan saya secara peribadi, ketagihan membeli-belah kini memang semakin berleluasa dalam masyarakat. Perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah turut menjadi fenomena di peringkat global.
Hal ini berlaku kerana kita mempunyai kuasa membeli serta sumber kewangan yang membolehkan kita berbelanja. Namun dari sudut psikologi, tidak semua tingkah laku membeli itu boleh dikategorikan sebagai gangguan atau ‘disorder’,” katanya.
Beliau berkata, ketagihan membeli boleh berlaku apabila seseorang membeli barangan secara berlebihan walaupun tidak digunakan.
Katanya, tingkah laku tersebut lazimnya didorong oleh keinginan mendapatkan kepuasan jangka pendek, namun dalam jangka panjang boleh membawa kepada tekanan emosi.
“Contohnya seseorang membeli tudung sehingga mempunyai hampir semua jenama yang ada di pasaran. Malah ada yang masih belum digunakan dan masih tersimpan dalam kotak sehingga kadang-kadang kita sendiri terlupa bahawa kita sudah memilikinya.
“Situasi seperti itu boleh menunjukkan kecenderungan kepada compulsive buying, iaitu membeli secara berlebihan untuk mendapatkan kepuasan jangka pendek. Namun dalam jangka panjang, ia berpotensi membawa kepada tekanan perasaan, kebimbangan dan juga kemurungan,” katanya.
Dalam usaha mengawal tabiat tersebut, beliau menekankan, perubahan tingkah laku perlu dilakukan secara berperingkat dan mungkin memerlukan bantuan profesional.
“Apabila seseorang mendapatkan rawatan dan berjumpa doktor, pemerhatian serta penilaian perubatan dapat dilakukan dengan lebih teratur. Ini secara tidak langsung membantu individu tersebut menjadi lebih berstruktur dan mempunyai motivasi untuk mencapai perubahan yang lebih baik,” katanya lagi.
