KESUMA perhalusi penambahbaikan perlindungan pekerja wanita

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan

SUBANG, 2 April -Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kini sedang memperhalusi cadangan penambahbaikan perlindungan kepada pekerja wanita.

RINGKASAN BERITA AI
  • KESUMA memperhalusi cadangan penambahbaikan perlindungan khusus bagi pekerja wanita.
  • Cadangan termasuk Bantuan Elaun Cuti Bersalin melalui PERKESO di bawah sistem insurans.
  • Inisiatif dianggarkan akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 ibu bersalin di seluruh negara.
  • Perhatian juga diberikan kepada hampir 400,000 pekerja Malaysia di luar negara melalui Skim Pengembara.

Menterinya, Datuk Seri Ramanan berkata, ini termasuk Bantuan Elaun Cuti Bersalin menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dijangka memanfaatkan lebih 100,000 ibu di seluruh negara.

“Wanita bukan sahaja penyumbang, tetapi juga penggerak utama ekonomi negara. Saya telah mengarahkan KESUMA melalui PERKESO untuk memperhalusi cadangan Bantuan Elaun Cuti Bersalin di bawah sistem insurans PERKESO.

“Inisiatif ini dianggarkan akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 ibu bersalin di seluruh negara,”katanya ketika berucap merasmikan Program Bicara dan Perkongsian, Menelusuri 1 Mei 2026: Pekerja Kesuma Bangsa, di sini.

Datuk Seri Ramanan turut memaklumkan, hampir 400,000 rakyat Malaysia yang bertugas di luar negara, khususnya yang berulang alik bekerja di Singapura, juga diberi perhatian khusus bawah Skim Pengembara.