Kestabilan politik dorong peningkatan pelaburan 2025

Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub/RTM

KUALA LUMPUR, 6 Mac Kestabilan politik merupakan salah satu faktor utama yang mendorong peningkatan prestasi pelaburan pada tahun 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan pelaburan membuktikan negara menjadi destinasi pilihan pelabur.
  • Prestasi pelaburan mencerminkan keyakinan tinggi terhadap dasar kerajaan merancakkan ekonomi.
  • Lawatan Perdana Menteri dan kabinet serta hubungan dengan syarikat antarabangsa wujudkan iklim perniagaan kondusif.
  • Lonjakan pelaburan tingkat hasil cukai dan dijangka buka lebih 200,000 peluang pekerjaan baharu.

Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, peningkatan pelaburan itu membuktikan keupayaan negara, menjadi destinasi pilihan pelabur.

Sekali gus, mencerminkan tahap kepercayaan dan keyakinan tinggi terhadap dasar kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Prestasi yang amat cemerlang dan membanggakan untuk negara ketika ekonomi global berada dalam keadaan yang tidak menentu. Peningkatan ini sebenarnya menandakan segala usaha kerajaan persekutuan selama ini telah membuahkan hasil.

“Ia khususnya kerja keras menjelajah beberapa buah negara luar oleh Perdana Menteri dan pasukan kabinetnya serta mewujudkan hubungan dengan syarikat-syarikat perniagaan gergasi antarabangsa dan menyediakan iklim perniagaan dan pelaburan tempatan yang amat kondusif,” katanya ketika dihubungi RTM.

Dr. Mohammad Tawfik juga berpandangan lonjakan pelaburan tersebut memberi pelbagai manfaat kepada negara, termasuk peningkatan hasil cukai kerajaan.

Seterusnya, dijangka membuka lebih 200,000 peluang pekerjaan baharu menerusi projek-projek yang diluluskan.