Kestabilan, kejelasan dasar asas utama urus negara berbilang kaum

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026, hari ini. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 April – Kestabilan dan kejelasan dasar merupakan asas utama dalam menguruskan negara berbilang kaum seperti Malaysia, khususnya ketika berdepan cabaran ekonomi dan ketidaktentuan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus kepada kestabilan demi mencegah perpecahan dan mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
  • Polisi jelas dan berprinsip diperlukan untuk membimbing keputusan serta memastikan keberlangsungan pentadbiran.
  • Keutamaan kepada pembangunan ekonomi, penerapan teknologi dan pengembangan pendidikan bagi memperkukuh toleransi dan peluang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keunikan Malaysia sebagai negara pelbagai kaum dan budaya, dengan pengaruh tamadun Melayu, Cina, India serta Barat, menjadikan pengurusan negara lebih kompleks dan mencabar.

“Walaupun kita pernah melalui ketegangan kaum sebelum dan selepas kemerdekaan, majoriti rakyat Malaysia memahami kepentingan kepelbagaian dan hidup dalam suasana harmoni. Walaupun Islam merupakan agama Persekutuan, tahap toleransi agama masih perlu diperkukuh, selain mengakui isu perkauman masih wujud dalam masyarakat.

“Justeru, dua perkara utama yang perlu diberi penekanan ialah kestabilan dan kejelasan dasar. Kita mesti terus memacu pembangunan ekonomi, mengadaptasi teknologi baharu, melakukan penyesuaian yang diperlukan serta memperluaskan akses pendidikan secara menyeluruh,”katanya dalam Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Datuk Profesor Dr Mohd Faiz Abdullah.

Datuk Seri Anwar turut menegaskan pendekatan Malaysia tidak semestinya sesuai dijadikan model kepada negara lain kerana setiap negara mempunyai latar belakang, sejarah dan cabaran tersendiri.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan pendekatan yang berhati-hati dan berprinsip dalam membuat keputusan demi memastikan kelangsungan serta kestabilan negara.

“Namun, apa yang diperlukan ialah kematangan dan kesabaran. Pada pandangan saya, fokus utama mesti diberikan kepada kestabilan. Kita perlu terus belajar daripada kesilapan dan meningkatkan kesedaran bahawa tanpa kestabilan, risiko perpecahan akan sentiasa wujud.Justeru, dua perkara utama yang perlu diberi penekanan ialah kestabilan dan kejelasan dasar.

“Kita mesti terus memacu pembangunan ekonomi, mengadaptasi teknologi baharu, melakukan penyesuaian yang diperlukan serta memperluaskan akses pendidikan secara menyeluruh,” katanya.