fb fb fb fb fb

KESEDAR runding kaedah pecah lot tanah kediaman generasi kedua

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

GUA MUSANG, 12 Ogos - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) sedang mengadakan rundingan kaedah memecahkan lot tanah kediaman untuk generasi kedua peneroka bagi menyelesaikan isu pertindihan nama di atas lot tanah yang sama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penyelesaian isu pemilikan rumah generasi kedua dan ketiga di FELDA dan KESEDAR perlu dilakukan mengikut Kanun Tanah Negara.

Jelasnya, mengikut Kanun Tanah Negara hanya satu rumah boleh didirikan dalam satu lot tanah yang dimiliki peserta dan peneroka berkenaan.

"Tetapi dalam kes ini dan usaha untuk memecahkan lot tanah ini sedang dirundingkan untuk pecahkan lot bagi membolehkan dibina lebih banyak rumah bawah satu lot. Kita cuba elakkan pertindihan di lot sama atas nama orang lain ini berlaku dan kita harap ia diselesaikan," kata Ahmad Zahid.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas Program Temu Mata Masyarakat Jeram Tekoh, di sini.

Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi KESEDAR Datuk Zawawi Othman dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kementerian menerusi Projek Perumahan Rakyat Sejahtera mempunyai peruntukan untuk membina rumah baharu namun di luar tanah peserta dan peneroka.

Perkara itu katanya, sudah dibawa ke peringkat perbincangan dan sudah mendapat kelulusan.

TETITIA YUSOFF