fb fb fb fb fb

Kes Muhyiddin, Istana Pahang buat laporan polis - Fahmi

Fahmi Fadzil/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 28 Ogos- Kerajaan tidak campur tangan mengenai kes membabitkan ahli politik dihadapkan ke mahkamah.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu berikutan tohmahan dan dakwaan mengatakan kerajaan turut serta ke atas pertuduhan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Siasatan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pendakwaan dibuat berdasarkan laporan tersebut dan pihak kerajaan tidak terlibat.

"Penting diingatkan di sini adalah laporan polis yang asal ialah dari Istana Pahang. Ia adalah melibatkan isu 3R (raja, agama dan kaum). Laporan polis dibuat oleh wakil istana tiada kaitan dengan kerajaan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di sini.

Dalam pada itu Fahmi juga mengingatkan semua pihak supaya mengelak daripada membangkitkan isu berkaitan raja, agama dan kaum.

Ketika mengulas berkenaan dakwaan kononnya Akta Hasutan dijadikan alat pendakwaan politik ke atas para pemimpin PN, Fahmi menyangkal perkara itu dan mengatakan ia tidak benar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI