fb fb fb fb fb

Kes mayat bayi beku: Beri ruang polis siasat, dedah perkara sebenar

Datuk Seri Nancy Shukri

KUCHING, 12 Disember- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menasihatkan semua pihak memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes mayat bayi beku di salah sebuah hospital swasta.

Beliau menegaskan ruang masa itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan secara teliti, seterusnya mendedahkan perkara sebenar.

Bagaimanapun jelasnya, kes tersebut berada di luar bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Selain itu, isu berkaitan hospital terbabit juga berada di luar bidang KPWKM. 

Dalam perkembangan lain statistik laporan kes gangguan seksual melibatkan lelaki menunjukkan peningkatan iaitu lebih 1,000 kes sejak program advokasi diperkenalkan.

Nancy berkata, purata umur lelaki yang melaporkan kes berkenaan dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun.

"Kementerian juga amat menghargai keberanian mereka yang tampil dan melaporkan kes tersebut.

"Kebanyakan mangsa lelaki tidak membuat laporan polis kerana mereka malu dan permasalahan itu hanya dikongsi dengan kaunselor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi Dialog Awam Program Toleransi Sifar Keganasan dan Advokasi Antigangguan Seksual di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini.

Pada masa sama KPWKM terus komited untuk menyokong mangsa gangguan seksual, tanpa mengira jantina, agar mereka tahu bahawa mereka tidak bersendirian.

Nancy turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama menangani isu berkenaan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

BERITA BERKAITAN:

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI