fb fb fb fb fb

Kes malaria di Kedah meningkat

GURUN, 16 Julai- Kedah mencatatkan 13 kes malaria setakat 9 Julai tahun ini, meningkat berbanding 6 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata kebanyakan jangkitan adalah kes import membabitkan warga Rohingya di Langkawi.

Jangkitan malaria zoonotic atau berasal daripada jangkitan haiwan turut dikesan.

Menurut beliau, tiada kematian dilaporkan tahun ini.

"Kita rasa masih lagi sepatutnya boleh dicegah terutama sekali dengan persekitaran yang menyebabkan bertambahnya pembiakan jentik-jentik.

"Yang kedua ada perlindungan diri terutama di kawasan perkhemahan yang boleh menyebabkan nyamuk membiak," kata Dr Mohd Hayati dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bersempena sambutan bulan Hepatitis dan Hari Malaria Peringkat Negeri Kedah di sini.

Turut diadakan program senamrobik, pameran kesihatan dan pameran agensi kerajaan, saringan kesihatan malaria, Hepatitis C dan HIV secara percuma, kempen derma darah, pertandingan mewarna dan menu sihat.

(Kes malaria di Kedah meningkat/Foto fail)

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Kedah akan terus melaksanakan pengawasan untuk mengenal pasti kes-kes malaria terutama melibatkan golongan berisiko tinggi seperti pendatang tanpa izin, pekerja asing dan pelancong yang datang dari negara endemik malaria.

Ujian darah dijalankan secara bersasar terhadap golongan terbabit.

Media Baharu