KUCHING, 1 November - Sarawak dan Pahang berpotensi besar membangunkan pakej pelancongan bersepadu berasaskan eko-pelancongan dan budaya tempatan bagi memperkukuh sektor pelancongan kedua-dua negeri.
Demikian dinyatakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Malam Mesra Sarawak-Pahang malam tadi.
Menurut Tan Sri Abang Johari, perkara itu dapat direalisasikan melalui promosi bersama, pertukaran budaya serta pengukuhan jaringan penerbangan dan darat.
"Sarawak dan Pahang berupaya memperkenalkan kepada dunia keindahan sebenar Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan warisan," katanya.
Dalam pada itu, Premier turut memberi jaminan kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama dengan kerajaan Pahang ke arah pemerkasaan kraftangan tempatan, khususnya tenunan songket, pua kumbu, rotan, manik dan keringkam, yang menjadi lambang warisan negeri ini.
Beliau juga memaklumkan usaha isterinya, Allahyarhamah Puan Sri Jumaani Tuanku Bujang bagi Projek Inovasi Warisan Songket dan Keringkam Sarawak selama ini akan diteruskan untuk memperkukuh kepakaran tanpa mengabaikan nilai tradisi.
Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
