fb fb fb fb fb

Kerjasama Kuala Lumpur dan Abu Dhabi terus diperkukuh

(FOTO RTM)

ABU DHABI, 6 Oktober- Hubungan Kuala Lumpur-Abu Dhabi akan terus diperkukuh.

Kesepakatan tersebut dicapai menerusi pertemuan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di Istana Qasr Al Shati’.

Menerusi pertemuan selama sejam itu, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan berkaitan isu antarabangsa selain membincangkan kerjasama dan hubungan yang sedia terjalin.

Kedua-dua pemimpin, turut menyatakan komitmen bagi memenuhi visi bersama, antaranya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, demi masa depan yang lebih mampan.

Antara kerjasama lain dibincangkan adalah bidang tenaga boleh diperbaharui, melibatkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Syarikat Tenaga Masa Depan Abu Dhabi (MASDAR) untuk membangun kapasiti 10 gigawatt bernilai 8 Bilion dolar Amerika.

Turut dipersetujui, pelantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja, sebagai Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia UAE (MUBC).

Manakala, Naib Presiden Kanannya, Rashid Alblooshi, dari Mubadala Energy mewakili UAE.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke negara berkenaan bermula semalam.

Sementara itu, rangka program Perdana Menteri pada hari ini akan dimulai dengan lawatan ke bandar MASDAR yang terkenal sebagai bandar lestari terancang pertama di dunia, sebelum melawat Universiti Kecerdasan Buatan, Mohamed bin Zayed (MBZUAI) diiringi Menteri Industri dan Teknologi UAE, Dr. Sultan Ahmed Al Jaber.

Perdana Menteri kemudian dijadualkan menunaikan solat jumaat di Masjid Besar Sheikh Zayed,diikuti sesi bersama Rakyat Malaysia yang menetap di UAE pada sebelah petangnya.


(FOTO RTM)

Media Baharu