LABUAN, 16 Januari- Kerjasama daripada ibu bapa dan guru perlu ada dalam menyampaikan pendidikan yang berkualiti kepada pelajar.
Usaha sedemikian terbukti dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik.
Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Abidin Marjan berkata guru memainkan peranan penting dalam menyampaikan pendidikan yang sepenuhnya di sekolah.
Namun ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk memastikan kerja-kerja sekolah yang diberikan dilaksana di rumah.
Oleh itu akses pendidikan daripada kedua-duanya mampu membentuk kemenjadian murid itu sendiri.
“Kalau kita didik, anak-anak akan memberikan kejayaan kepada semua peringkat. Anak-anak kita tidak ada yang berbeza tidak ada yang terpinggir kerana dalam kontek di Malaysia pendidikan kita adalah menyeluruh, maksudnya untuk semua anak-anak kita”, katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Tahun Enam Sekolah Kluster Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan St. Anne di Labuan.
Pada majlis itu, seramai 67 pelajar tahun enam sekolah berkenaan menamatkan sesi pembelajaran 2024-2025 di sekolah berkenaan dengan menerima sijil graduan.
Hadir sama Guru Besar SKK SK St. Anne Chua Lai Eng dan Pengerusi PIBG SK St. Anne Spencer Panjangou.