Kerjasama ekonomi ASEAN-AS positif menerusi ART

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – ​ ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kemajuan positif dalam kerjasama ekonomi menerusi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).

RINGKASAN BERITA AI
  • ART menunjukkan kemajuan positif dalam memperkukuhkan kerjasama ekonomi antara ASEAN dan AS.
  • Perjanjian kini di peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
  • ASEAN berharap membuktikan dirinya sebagai rakan kepada semua negara termasuk Amerika Syarikat.
  • ASEAN berperanan sebagai pelengkap rantai bekalan, bukan pesaing, terutamanya dalam industri semikonduktor.
  • ART mensasarkan faedah timbal balik merangkumi tarif, halangan bukan tarif, perdagangan digital dan keselamatan ekonomi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz optimis, ART yang kini di peringkat akhir untuk dimuktamadkan bakal dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 nanti.

”Saya berpandangan AS sedang berbincang dengan beberapa negara ASEAN untuk memuktamadkannya. Harapan dan matlamatnya agar perjanjian ini dapat dimeterai oleh kedua-dua pemimpin semasa sidang kemuncak ini.

“Bagi ASEAN, kita mahu membuktikan kepada AS, terutama pentadbiran Trump, bahawa kita bekerjasama dengan semua pihak dan yang lebih penting ASEAN boleh menjadi rakan kepada semua negara termasuk AS,” katanya pada sidang media khas menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan pada 26 Oktober hingga 28 Oktober ini.

Beliau juga menegaskan yang ASEAN boleh menjadi rakan strategik kepada semua negara termasuk AS dengan berperanan sebagai pelengkap kepada rantaian bekalan, bukannya pesaing.

“Sebagai contoh, dalam bidang semikonduktor, banyak negara ASEAN merupakan pemain industri utama dan ini adalah bahagian yang amat penting dalam rantaian bekalan mereka.

“Kita tidak mengambil alih rantaian bekalan, sebaliknya ia memperkukuhkan lagi rantaian bekalan AS itu sendiri. Jadi kita perlu menunjukkan kesalinglengkapan, antara ekonomi ASEAN dan AS,” katanya.

ART berperanan mewujudkan faedah timbal balik bagi pihak terlibat merangkumi enam bidang utama antaranya tarif dan kuota, halangan bukan tarif, perdagangan digital dan teknologi, ekonomi dan keselamatan negara.