BESUT, 7 Disember- Kerja-kerja pembaikan Jalan Jerteh-Keruak dekat Kampung Bukit Mali Hulu Besut yang mengalami kerosakan akibat banjir telah mula dibaiki bermula Isnin lalu.
Kerja pembaikan laluan sepanjang 1.2 kilometer itu dijangka siap 23 Disember ini.
Pengarah Jabatan Kerja Raya JKR Terengganu, Ir Dr Hasli Ibrahim ketika dihubungi berkata laluan itu sedang dalam pembaikan menggunakan kaedah 'Cold in Place Recycle'.
Jalan tersebut sepatutnya boleh disiapkan lebih awal, namun faktor cuaca telah memperlahankan kemajuan di tapak kerja-kerja pembaikan jalan tersebut.
Mengulas lanjut Ir Dr Hasli berkata, pengguna jalan raya bagi semua jenis kenderaan masih boleh melalui jalan tersebut. Namun dinasihatkan untuk berhati-hati dengan had laju ditetapkan agar tidak berlaku kemalangan serta kerosakan lebih teruk terhadap struktur jalan.
Laluan berkenaan juga akan ditutup sepenuhnya bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan.
Notis pemaklumkan penutupan jalan dan laluan alternatif akan dikeluarkan sebelum tindakan diambil.