BAU , 27 Julai - Seorang lelaki berusia 45 tahun berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandu terbabas sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Kampung Bogag, Jalan Bah Serikin awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.58 pagi.
"Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau telah dikerahkan ke lokasi kejadian," menurut kenyataan itu.
Mangsa dikenali sebagai Desmond Nyakin hanya mengalami cedera ringan dan sempat menyelamatkan diri sebelum kereta jenis sedan itu musnah 90 peratus dalam kebakaran.
Operasi tamat pada pukul 3.40 pagi tadi.