BUTTERWORTH, 4 Oktober - Dua lelaki ditemui rentung selepas kereta dinaiki terbakar dalam kejadian di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan, di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada pukul 7.09 pagi.
Beliau memaklumkan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth tiba di lokasi pada pukul 7.21 pagi.
"Pasukan mendapati terdapat dua mangsa yang rentung. Mangsa dipercayai terperangkap dalam kenderaan yang terbakar dan identiti kedua-duanya masih belum dikenal pasti.
"Operasi ditamatkan pada pukul 10.55 pagi dan kes diserahkan kepada Pasukan Forensik Kebakaran untuk siasatan lanjut," jelasnya.