ALOR SETAR, 16 Mei - Dua lelaki nyaris maut selepas kereta yang dinaiki dihempap sebatang pokok yang tumbang di Jalan Datuk Kumbar, di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II, Ahmad Naufal Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 3.43 petang tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati ada sebatang pokok yang tumbang dan menghempap dua kereta.
"Dua lelaki berumur 38 dan 61 tahun yang terperangkap dalam kenderaan itu telah berjaya dibawa keluar dari kenderaan masing-masing dengan bantuan orang ramai sebelum ketibaan bomba dan tidak mengalami kecederaan," katanya menerusi kenyataan.
Tambah Ahmad Naufal, kejadian tersebut tidak menjejaskan aliran trafik kerana kedudukan pokok yang tumbang tidak menghalang lalu lintas dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.04 petang.