fb fb fb fb fb

Kereta api funikular Bukit Bendera alami kebocoran hos brek trek

GEORGE TOWN, 26 Disember- Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera mengalami gangguan kira-kira pukul 4.00 petang dan ia kembali beroperasi seperti biasa pada pukul 6.45 petang, semalam.

"Setelah siasatan dijalankan, pasukan penyelenggaraan PBBPP mendapati kebocoran pada hos brek trek dan memerlukan sedikit masa untuk menggantikan bahagian tersebut serta menghidupkan sistem dengan sepenuhnya.

"PBBPP ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung atas kesabaran anda terhadap gangguan perkhidmatan dan kami juga ingin menekankan bahawa perkhidmatan funikular dan keselamatan penumpang adalah keutamaan kami," menurut kenyataan itu.

Selain itu, PBBPP amat berterima kasih kepada perkhidmatan jip Persatuan Penduduk Bukit Bendera, perkhidmatan bas dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas dalam menangani situasi kecemasan tersebut.

Media semalam, melaporkan kira-kira 1,000 pengunjung hampa apabila hasrat mereka untuk menikmati cuti sempena perayaan Krismas di puncak Bukit Bendera di sini terkubur setelah perkhidmatan kereta api furnikular dilaporkan mengalami kerosakan.

(Perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera / FOTO BERNAMA)

Suasana di pekarangan stesen bawah itu dikatakan bertukar kecoh apabila ada dalam kalangan pengunjung yang tiba seawal pukul 12.00 tengah hari mula meluahkan kekecewaan berikutan tempoh menunggu diambil hampir lima jam sehingga pukul 5.15 petang.

Terdahulu, tular di media sosial klip video serta hantaran oleh pengunjung yang merungut berhubung masalah perkhidmatan funikular di Bukit Bendera sehingga menyebabkan ratusan penumpang terkandas di stesen bawah serta di puncak bukit tersebut akibat gangguan tersebut.

Media Baharu