KUALA LUMPUR, 17 Julai- Kerangka Ekonomi MADANI terus menunjukkan hasil yang positif dengan pencapaian-pencapaian nyata yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, selaras dengan prinsip keadilan sosial.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pelbagai indikator positif ekonomi telah direkodkan bawah kepimpinan bijak Kerajaan MADANI.
Antaranya, dasar pembangunan progresif yang berjaya mendorong lonjakan pelaburan.
"Antaranya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan peningkatan sebanyak 4.4 peratus bagi suku pertama tahun ini, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh serta penurunan kadar pengangguran kepada 3.1 peratus yang merupakan kadar terendah dalam era moden.
Ini khususnya pelaburan dalam teknologi hijau, infrastruktur digital dan industri berteknologi tinggi melalui pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030," kata Datuk Seri Shamsul Iskandar kepada pemberita, hari ini.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap sebagai tetamu undangan di Forum Ekonomi Kebangsaan 2025 di ibu negara.
Pada masa sama, reformasi dalam tadbir urus dan pendigitalan perkhidmatan awam turut menyumbang kepada peningkatan kedudukan daya saing global negara.
Ini sekali gus menjadikan Malaysia kekal diyakini sebagai destinasi pelaburan sejajar dengan kekuatan dasar yang jelas, berkredibiliti dan konsisten.
“Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, tumpuan kerajaan bukan sekadar untuk memulihkan negara, tetapi membina semula asas ekonomi dan melaksanakan reformasi menyeluruh demi memastikan pertumbuhan mampan serta kemakmuran jangka panjang," tambah beliau.