KUALA LUMPUR, 17 Julai – Susulan teguran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung tahap kebersihan di ibu negara baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, memaklumkan tindakan segera telah diambil bagi memastikan kawasan persekitaran bandaraya Kuala Lumpur kekal bersih dan mampan.
Sultan Ibrahim menegur keadaan longkang tersumbat serta sampah sarap dibuang di tepi jalan - Foto Istana Negara
“Tindakan segera telah diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kita juga akan pastikan pemantauan berkala terus dijalankan bagi memastikan kawasan-kawasan tumpuan di ibu negara sentiasa berada dalam keadaan bersih dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Kepimpinan Perubahan Iklim dan Tenaga Hijau (IKLIM) Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di sini, hari ini.
Sultan Ibrahim berkenan berjalan kaki sambil meninjau tahap kebersihan persekitaran Jalan Gallagher baru-baru ini - Foto Istana Negara
Pihaknya menghargai keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap kebajikan warga kota dan akan memastikan teguran baginda dijadikan panduan untuk penambahbaikan berterusan.
Teguran itu dibuat selepas Sultan Ibrahim berkenan berjalan kaki sejauh 3.2 kilometer di sepanjang Jalan Gallagher, Kuala Lumpur baru-baru ini, bagi meninjau sendiri tahap kebersihan dan keadaan persekitaran bandaraya.