fb fb fb fb fb

Kerangka Ekonomi MADANI, pacu pembangunan mampan, inklusif - Anwar

Foto FB Anwar Ibrahim

HAMBURG, 16 Mac- Kerangka Ekonomi MADANI mencerminkan komitmen Malaysia menjadi ekonomi utama di Asia serta memacu pembangunan yang mampan dan inklusif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia juga memperlihatkan sokongan integrasi serta keharmonian, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai kuasa besar serantau.

"Menyokong kerangka ekonomi ini adalah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang bertujuan untuk menggiatkan semula landskap perindustrian Malaysia..memfokuskan pada nilai tambah, pembuatan canggih dan pelaburan berimpak tinggi.

"Malaysia bukan sahaja terbuka menerima perniagaan tetapi juga bersedia untuk berinovasi serta bekerjasama dalam usaha niaga berkualiti tinggi yang sejajar dengan matlamat negara dan tanggungjawab global," kata Anwar menerusi ucap tamanya semasa menghadiri acara 101st Ostasiatisches Liebesmahl di sini.

Majlis Makan Malam Persahabatan Asia Timur itu dianjurkan oleh Persatuan Perniagaan Asia-Pasifik Jerman.

Sementara itu, Anwar berkata penduduk Islam di seluruh dunia tidak boleh berdiam diri dengan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.

Menerusi ucapan ringkasnya di Masjid Al-Nour di Hamburg, Anwar mengambil kesempatan itu menyampaikan sentimen dan kebimbangan masyarakat Islam dunia kepada pemimpin Jerman.

"Saya berada di Jerman sebagai tetamu Canselor.

"Kami mengadakan pertemuan dua hala yang baik dengan pemimpin Jerman, serta mengadakan perbincangan dengan komuniti perniagaan kerana kami ingin menjemput lebih ramai pelabur ke Malaysia, selain membawa sentimen keamanan dan keadilan.

"Semua pihak mahukan gencatan senjata dan bantuan segera kepada rakyat Palestin serta penyelesaian jangka panjang dalam usaha mencari keadilan, maruah semua rakyat tanpa mengira agama," katanya.

 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM