KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Tiada kompromi dalam isu berkaitan isu pencerobohan dalam badan risikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehubungan itu menegaskan, kerajaan tidak akan berselindung atau bertolak ansur dengan individu yang terlibat, dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh.
Sekali gus komited memastikan perkara tersebut diatasi bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin.
"Jangan gunakan ini sebagai senjata politik, kalau ada maklumat, beri maklumat dan saya tidak ada masalah. Laporan awal ini berkaitan soal keselamatan negara, bukannya soal parti atau seumpamanya.
"Kalau ada sekelompok seperti kartel yang mengambil keuntungan dan menjual rahsia, ini soal besar dalam negara dan satu malapetaka. Jadi biar ada siasatan awal, dan saya dah beri maklumat kepada semua termasuk Pengarah Bahagian Risikan," tegas beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu tindakan kerajaan selepas timbul pelbagai isu keselamatan negara, termasuk kes kebocoran operasi pertahanan negara.
Terdahulu, media melaporkan penahanan lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas disyaki terbabit membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket untuk membawa masuk barang larangan seperti dadah.