fb fb fb fb fb

Persidangan Kebangsaan SSM 2025: fokus tadbir urus korporat, pertumbuhan mampan ASEAN

Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof.

KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Lebih 2,300 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Penganjuran kali ke-14 itu menumpukan kepada tadbir urus korporat dan pertumbuhan mampan serantau selaras aspirasi ASEAN, dengan tema “Leading Governance for Sustainable Growth”. Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof.

“Persidangan ini bukan sahaja menyokong agenda nasional dalam memperkukuh ekosistem tadbir urus negara, malah selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025. Fokus kepada tadbir urus yang berprinsip akan menjadi asas penting bagi menjana pertumbuhan mampan jangka panjang di rantau ini,"

"Ia berperanan penting sebagai platform yang menghimpunkan pengamal industri untuk bertukar pandangan, mencabar tanggapan sedia ada serta membentuk landskap korporat yang bukan sahaja berdaya tahan, malah berprinsip dan berpandangan jauh selaras aspirasi ASEAN ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan berasaskan nilai,” katanya.

Persidangan dua hari itu turut menampilkan penceramah dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina dan Vietnam, serta penyertaan wakil antarabangsa secara maya dari Hong Kong, Afrika Selatan dan Mesir.

Antara topik yang dibincangkan termasuk megatrends perniagaan mampan, kebangkitan ASEAN sebagai kuasa geopolitik dan ekonomi, inovasi digital, kecerdasan buatan (AI), serta daya tahan kepimpinan korporat ketika krisis.

Selain itu, SSM turut menekankan ketelusan dan etika perniagaan melalui pewajiban serah simpan maklumat beneficial ownership serta penambahbaikan sistem MDRS 2.0.

TUN JULIA MOHD TAHIR