KOTA BHARU, 11 September - Kerajaan akan melakukan persediaan lebih rapi dan bersiap sedia bagi menghadapi fasa peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan November ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok yang turut disertai wakil negeri-negeri bagi membincangkan cadangan serta persediaan awal menghadapi bencana itu.
Pada masa sama katanya, pihaknya juga sedang menambah jumlah aset dan logistik bagi agensi keselamatan sebagai persediaan awal menangani bencana dan isu kecemasan.
"Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) akan menerima maklumat mengenai bencana yang berlaku di setiap negeri dan ia kemudiannya akan menyalurkannya kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk tindakan lanjut.
"Selain itu, kita juga mempunyai lebih 50,000 sukarelawan di peringkat komuniti yang sudah dilatih untuk menghadapi segala kemungkinan bencana dan kecemasan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pejabat Negeri Pertahanan Awam Kelantan di Mukim Kota, dekat Tunjong, di sini.
Media sebelum ini melaporkan, MetMalaysia meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, dengan risiko berlaku hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar.