fb fb fb fb fb

Kerajaan setuju beri RM200 kepada pesawah

KUALA LUMPUR, 19 Mei- Kerajaan bersetuju memberi bantuan bulanan RM200 untuk enam bulan kepada pesawah sementara menunggu hasil tuaian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan itu telah dibincangkan bersama dengan Kementerian Kewangan dan akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang dijangka dibentang pada Oktober ini.

Sebelum ini, penoreh getah mendapat bantuan musim tengkujuh kerana tiada pendapatan selama tiga bulan iaitu pada November, Disember dan Januari.

Mengulas isu kawalan harga ayam dan telur di negara ini, Perdana Menteri mengesyorkan NAFAS menguasai sepenuhnya rantaian pengeluaran bekalan bahan makanan itu supaya dapat membantu kerajaan dan mengelak daripada ‘diugut’ oleh pengeluar bekalan berkaitan harga.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.)

"Saya bersetuju NAFAS menguasai rantaian pengeluaran ayam yang bukan sahaja daripada ayam tetapi anak ayam malah makanan ayam juga, dan saya harap rantaian ini dikuasai NAFAS,

"Ahli NAFAS juga mencukupi, ada sejuta dan boleh masuk pasaran (pengeluar bekalan ayam) dan saya sudah beritahu menteri bahawa kita (kerajaan) tidak boleh biarkan (diri) sentiasa diugut pengeluar ayam sebab itu, saya minta NAFAS dan pengeluar pasaran ayam ini dikuasai oleh kita supaya tidak diugut oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Ke-48, di ibu negara, malam tadi.

Beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan meluluskan peruntukan RM4.47 juta daripada Tabung Bencana Pertanian bagi membantu 29 Pertubuhan Peladang dan 483 ahli yang terjejas akibat bencana alam tahun ini.

Media Baharu