fb fb fb fb fb

Kerajaan Pusat salur RM1.59 bilion untuk pembangunan fizikal di Terengganu

Datuk Seri Mohamed Khaled pada program penyerahan Rumah Kasih Ihsan-Kategori Baik Pulih di kediaman ibu tunggal Noriani Jaafar@Hitam di Kampung Dusun Tembakau di Manir dekat sini pada Sabtu/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 27 April- Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.59 bilion bagi projek-projek pembangunan fizikal di Terengganu tahun ini di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Terengganu berkata, peruntukan tersebut melibatkan 99 projek baharu dan 296 projek sambungan.

"Ini projek daripada Kerajaan Pusat antaranya yang kita sedang laksanakan sama ada sambung atau baharu seperti Hospital Dungun, Hospital Kemaman, naik taraf jambatan merentasi Sungai Marang, pemuliharaan muara sungai di Dungun, Setiu dan Besut serta projek kawalan hakisan pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program penyerahan Rumah Kasih Ihsan-Kategori Baik Pulih di kediaman ibu tunggal Noriani Jaafar @ Hitam di Kampung Dusun Tembakau di Manir dekat sini pada Sabtu.

Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata sebanyak RM50 juta diperuntuk bagi Program Pembasmian Kemiskinan di Terengganu pada tahun ini antaranya melibatkan bantuan baik pulih rumah-rumah daif.

Jelasnya sehingga 25 April lalu, 57 projek baik pulih rumah telah siap sepenuhnya di seluruh Terengganu iaitu 18 buah di Kuala Terengganu, Besut (14), Hulu Terengganu (tujuh), Setiu (enam), masing-masing lima di Kuala Nerus dan Marang (lima) serta Dungun (dua).

Katanya, kos keseluruhan bagi 57 projek itu berjumlah RM1.425 juta manakala 119 projek berstatus dalam pelaksanaan bernilai RM2.975 juta.

Mohamed Khaled memaklumkan di bawah peruntukan sama, pembinaan 20 buah rumah bina baharu akan dimulakan pada awal Mei ini dan 45 projek infrastruktur kecil seperti pembinaan jalan dan longkang kini sedang dalam pelaksanaan.

"Manakala selebihnya pembangunan bukan fizikal untuk manfaat 160,000 golongan miskin dan miskin tegar.

"Apa yang kita buat adalah satu tanggungjawab Kerajaan Pusat bahawa peruntukan yang besar tetap disalur terus kepada rakyat Terengganu," tambahnya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI