Kerajaan peruntuk RM317 juta, pastikan bekalan barang asas ke pedalaman

Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr. Fuziah Salleh/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Mac– Kerajaan memperuntukkan RM317 juta bagi tahun 2026 bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas kekal mencukupi serta harga lebih stabil, khususnya di Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • RM67 juta disalur untuk penyeragaman harga Sabah dan Sarawak melalui subsidi Port-to-Port menampung kos penghantaran dari Pelabuhan Klang.
  • RM250 juta diperuntukkan untuk Program Pengedaran Barang Perlu bagi penghantaran konsisten barangan asas ke kawasan pedalaman.
  • KPDN kenal pasti 1,570 Point of Sale dan tubuh Kumpulan Kerja Teknikal bagi menstabilkan harga serta perbaiki rantaian bekalan.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh dalam satu kenyataan memaklumkan peruntukan itu disalurkan melalui dua inisiatif utama yang memberi tumpuan kepada pengurangan kos logistik serta pengukuhan rantaian bekalan barangan asas.

Menurut kenyataan itu, RM67 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program penyeragaman harga barangan di Sabah dan Sarawak melalui subsidi ‘Port-to-Port’, yang membantu menampung kos penghantaran dari Pelabuhan Klang ke pelabuhan utama di kedua-dua negeri.

Selain itu, RM250 juta disalurkan bagi Program Pengedaran Barang Perlu untuk memastikan bekalan barangan asas dapat dihantar secara konsisten ke kawasan pedalaman.

“KPDN telah mengenal pasti sebanyak 1,570 Point of Sale (POS) di seluruh negara yang memerlukan bekalan barangan keperluan asas, dengan 1,480 POS terletak di Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, peruntukan berkenaan disalurkan melalui subsidi kepada syarikat pengangkutan yang dilantik bagi memastikan barangan dapat dihantar ke kawasan pedalaman dan dijual pada harga lebih berpatutan.

KPDN turut memaklumkan kajian penstabilan harga mendapati faktor logistik dan pengangkutan antara penyumbang utama kepada perbezaan harga barangan antara wilayah.

Sehubungan itu, kerajaan menubuhkan Kumpulan Kerja Teknikal Penstabilan Harga bagi merangka langkah strategik meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta menstabilkan harga secara lebih mampan.