(Foto BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 5 Jun- Kerajaan Perpaduan yang digagaskan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan cetusan idea baginda dalam mewujudkan kerajaan yang stabil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu berjaya meningkatkan keyakinan pelabur berlandaskan tata kelola pemerintahan yang mampan demi menjamin kesejahteraan dan keselesaan rakyat.
"Kerajaan Perpaduan yang lahir daripada cetusan kebijaksanaan baginda telah berjaya mewujudkan permuafakatan dan kestabilan politik negara.
"Ia juga memberi ruang ke arah pertumbuhan ekonomi negara, keyakinan pelabur domestik dan luar negara," katanya ketika merafak sembah ucapan tahniah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara 2023 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan bakal melancarkan beberapa dasar negara yang lebih kental dan ampuh bagi mendepani cabaran dunia.
"Kerajaan mengakui cabaran di masa hadapan sangat mencabar. Dunia masih bergelut dengan perebutan kuasa dan peperangan. Kerancakan perdagangan ekonomi sejagat kian terbantut dan krisis iklim serta persekitaran berada di tahap genting. Insya-Allah Pelan Perindustrian Negara akan dilancarkan pada bulan Ogos ini, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 pada akhir September dan Belanjawan MADANI kedua pada bulan Oktober. Kesemuanya tatkala tuanku masih bersemayam di atas singgahsana negara. Dalam semua kerangka besar yang bakal dilancarkan, ia akan menjadi landasan tata kelola yang baik, telus dan bertanggungjawab," katanya.
(Foto BERNAMA)