Kerajaan perkasa AKPS, keselamatan sempadan diperketat

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika lawatan tinjauan Operasi Khas Pagar Laut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah/ BERNAMA

PELABUHAN KLANG, 27 Februari Kerajaan memberi jaminan akan menyokong sepenuhnya keperluan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) termasuk dari segi persenjataan dan kelengkapan keselamatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menyokong penuh keperluan AKPS termasuk persenjataan dan kelengkapan keselamatan bagi memperkukuh kawalan pintu masuk negara.
  • AKPS diberi ruang menyusun strategi operasi untuk mempertingkat kawalan di 122 pintu masuk melalui kepimpinan Ketua Pengarah.
  • Kementerian menekankan sokongan berterusan agar tugas dilaksanakan berkesan sambil menjaga keselamatan anggota selepas insiden tembakan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebagai agensi baharu, AKPS mempunyai ruang menyusun gerak kerja strategik bagi memperkukuh kawalan di 122 pintu masuk negara.

“Jika ia bertujuan meningkatkan tahap keselamatan seluruh anggota AKPS, misalnya dengan penggunaan senjata atau kelengkapan lain, saya serahkan sepenuhnya kepada kepimpinan AKPS, iaitu Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain untuk menyusun atur,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Ops Khas Pagar Laut 2026 oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Pelancaran operasi khas itu berlangsung di Kapal Maritim Tun Fatimah, Pusat Hidrografi Nasional, Lebuh Sungai Chandong, Bandar Armada Putra, di sini.

Tegasnya, peranan kementerian adalah memastikan sokongan penuh diberikan agar tugas dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, tanpa mengabaikan keselamatan anggota di lapangan.

Perkembangan itu menyusul insiden awal pagi Rabu, apabila kenderaan dipandu Komander AKPS Bukit Kayu Hitam dilaporkan ditembak berhampiran sempadan Malaysia–Thailand.