fb fb fb fb fb

Kerajaan Pahang kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan pindahkan sekolah sering banjir ke lokasi lebih tinggi

TEMERLOH, 10 Januari - Kerajaan Pahang bersetuju memberi kerjasama kepada kerajaan Persekutuan bagi memindahkan sekolah yang sering menghadapi banjir ke lokasi lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, usaha tersebut perlu bagi memastikan bantuan jangka panjang dapat diberikan kepada 41 sekolah yang terjejas banjir.

"Jadi di antara resolusi tidak sekadar pergi turun padang tengok dan pandang-pandang.

"YB Menteri Besar telah memberi resolusi sekolah-sekolah katanya yang berpontensi banjir setiap tahun ini kerajaan negeri sedia berkerjasama dengan kerajaan Persekutuan khusus Kementerian Pendidikan untuk menyediakan tapak-tapak baru", kata Syed Ibrahim dalam sidang media di sini.

Terdahulu beliau meninjau keadaan sekolah yang ditimpa banjir di Sekolah Kebangsaan Paya Taram, Kerdau.

"Pemindahan sekolah itu perlu bagi memastikan permasalahan berkaitan banjir ini dapat diatasi dan tidak berulang pada masa hadapan", katanya.

Jelasnya, dalam membantu sekolah-sekolah yang menghadapi banjir ini, kerajaan perlu mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Pahang (JPNP) telah mengenal pasti kerosakan dan kos kerugian yang ditanggung sekolah-sekolah berkenaan dan akan dikemukakan kepada pihak kementerian untuk diambil tindakan.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 41 sekolah tidak dapat dibuka untuk pengoperasian bagi sesi persekolahan baharu kerana terbabit banjir termasuklah mengalami kerosakan atau kerugian.

Malah katanya, terdapat beberapa sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan tidak dapat dibuka bagi sesi persekolahan baharu setiap kali menjelang musim tengkujuh.

Media Baharu