SEREMBAN, 31 Mei- Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi menjayakan Sukan Negeri Sembilan (SUKNES) 2025.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, daripada peruntukan tersebut, sebanyak RM20,000 disumbangkan kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengelolakan kejohanan di peringkat masing-masing.
Katanya, SUKNES menjadi platform bagi mengetengahkan bakat baharu daripada peringkat akar umbi ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Program ini harus diteruskan dan kita yakin bahawa ia mendapat sokongan akar umbi. Itu yang paling penting.
"Kita juga harus ingat bahawa program ini dapat mencungkil bakat dan dalam masa yang sama memastikan rakyat Negeri Sembilan mencintai sukan," katanya.
Beliau berkata demikian pada masjlis Perasmian Pembukaan SUKNES 2025, di Centre Court, Kompleks Sukan Paroi di sini.
SUKNES Negeri Sembilan dianjurkan secara karnival selama tiga hari bermula 30 Mei hingga esok dengan penglibatan hampir 30,000 orang termasuk pegawai, pemain dan petugas teknikal.