KOTA BHARU, 13 Mei - Mana-mana syarikat penerbangan dialu-alukan untuk memulakan operasi penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook
Syarikat penerbangan itu bagaimanapun perlu mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) terlebih dahulu.
"Sebenarnya tiada masalah bagi mana-mana syarikat penerbangan memulakan penerbangan antarabangsa dari LTSIP sebagai contoh penerbangan dari Singapura, Thailand atau mana-mana negara di rantau Asia, terpulang kepada syarikat penerbangan terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Operasi Fasa 1 Projek Pembesaran dan Menaik taraf LTSIP, di sini.
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri Kelantan, bagi menambah 400 meter lagi landasan di LTSIP untuk menjadikan ia sebagai lapangan terbang antarabangsa dan akan meminta Menteri Pengangkutan untuk menyegerakan pembinaan LTSIP yang sedang dilakukan ketika ini.
Pengoperasian terminal LTSIP fasa satu pada 1 Mei lepas mampu menampung 1.5 juta penumpang, manakala pembinaan fasa dua akan dilaksanakan serta-merta dan dijangka dapat menampung sehingga empat juta penumpang.
Loke memberi jaminan pembinaan Fasa 2 LTSIP tidak menjadi masalah dan mampu disiapkan mengikut jadual yang dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun depan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Datuk Dr Izani Husin.