fb fb fb fb fb

Kerajaan komited pastikan pindaan Akta 134 perkukuh hak orang asli

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Kerajaan komited memastikan pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) bakal memperkukuh perlindungan hak masyarakat Orang Asli, sekali gus membawa perubahan besar kepada kualiti hidup mereka.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat khas Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) yang dipengerusikannya hari ini menjadi langkah penting dalam menyediakan asas kukuh sebelum pindaan dibawa ke peringkat Majlis Tanah Negara (MTN) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri.

“Hak ke atas tanah bukan sekadar soal pemilikan fizikal, tetapi lambang maruah, kesinambungan warisan, dan kunci kepada kemajuan sosioekonomi komuniti ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, lebih 1,000 sesi libat urus telah diadakan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk para batin, kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO).

Antara isu pokok yang dibincangkan ialah tanah dan penempatan orang asli, yang walaupun berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, memerlukan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan agar pindaan yang dicadangkan selaras dengan dasar negeri.

Tambahnya, pindaan Akta 134 juga akan memastikan akses komuniti oang Asli kepada pendidikan berkualiti, infrastruktur yang lebih baik dan peluang ekonomi yang luas, selain menulis semula naratif pembangunan agar mereka kekal teguh, berdaya saing dan mampu mencapai kejayaan lebih gemilang.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM